Maut ditetak: Mungkin kerana dendam?

Iklan
Najwan (dua, kiri) ketika mengunjungi keluarga mendiang Thiyahu di Hospital Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM - Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi mengakui terkejut apabila calon Ahli Jawatankuasa (AJK) AMK Cabang Shah Alam, M Thiyahu, 30, yang maut ditetak sekumpulan lelaki di tingkat bawah sebuah flat di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini, semalam.

Menurutnya, maklumat kejadian diketahuinya kira-kira jam 6.30 petang semalam dan Thiyahu mengalami kecederaan parah dipercayai akibat diserang kumpulan terbabit.

Iklan
Iklan

"Kejadian berkemungkinan berlaku disebabkan isu dendam atau sakit hati tapi kita tak tahu punca sebenar jadi, biarlah polis menjalankan siasatan secara terperinci terlebih dahulu buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengunjungi ahli keluarga mangsa di Hospital Shah Alam di sini, hari ini.

Iklan

Dalam kejadian itu, Thiyahu yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dipercayai diserang dengan parang oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja.

Mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapat rawatan namun pihak hospital mengesahkan dia meninggal dunia pada jam 6.30 petang akibat kecederaan parah dialaminya itu.

Iklan

Najwan berkata, pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada AMK Shah Alam dan komuniti anak muda di flat berkenaan berikutan beliau seorang pemimpin yang komited menjalankan tugas.

"Ini satu kejutan buat saya kerana mendiang seorang yang amat komited dan sentiasa menjalankan tugas-tugas sukarelawan bagi membantu masyarakat setempat terutama kaum India.

"Walaupun mendiang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini, namun dia tetap aktif membantu masyarakat setempat dan anak muda yang memerlukan bantuan,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian berkenaan, AMK akan menjaga kebajikan isteri dan bayi perempuan mendiang bagi meringankan beban yang dihadapi mereka selepas ini.

"Mendiang meninggalkan isteri yang juga seorang suri rumah bersama seorang bayi perempuan berusia kira-kira setahun. Pejabat Adun akan membantu menjaga kebajikan mereka selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan bahawa mangsa berkemungkinan diserang selepas lantang bersuara dalam isu pengedaran dan penagihan dadah di kawasan tersebut.

"Ini mungkin antara punca dia diserang. Mendiang sebelum ini seorang individu yang baik malah dia sememangnya agak keras dalam isu melibatkan dadah,” katanya.