Penduduk 'tidur-tidur ayam' waspada angin kuat, ombak besar

Iklan
Siti Norazurawati bersama anak dan anak saudaranya meninjau keadaan ombak besar di belakang rumah mereka.

PASIR PUTEH - Fenomena angin kuat berkelajuan antara 50 hingga 60 kilometer (km) yang diramal bermula semalam membuatkan penduduk di sekitar pesisiran pantai Tok Bali dan Semerak dekat sini diselubungi kebimbangan.

Meskipun sudah lali dengan fenomena itu, rata-rata penduduk di kawasan berkenaan sentiasa berwaspada untuk berdepan sebarang kemungkinan kerana jarak rumah mereka dengan pantai hanya sekitar 10 meter.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk dari Kampung Dalam Rhu, Siti Norazurawati Samion, 39, berkata, perasaan takut memikirkan perkara tersebut tetap ada walaupun sudah lama menetap di kawasan tersebut.

"Angin kuat bersama dengan ombak besar biasanya berlaku pada waktu malam.

Iklan

"Ekoran fenomena itu, saya dan keluarga hanya 'tidur-tidur ayam' sahaja sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, sepanjang menetap di kawasan itu lebih tiga dekat, tahun 2014 terjadinya fenomena ombak paling besar dalam hidupnya.

Iklan

Katanya, ketika itu dia dan keluarga terpaksa berpindah selama seminggu disebabkan fenomena tersebut.

Keadaan angin kuat di kawasan Kampung Dalam Rhu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati fenomena angin kuat sedang melanda kawasan berkenaan ketika ini.

Sementara itu, seorang pengusaha keropok, Mat Hassan Mat Ali, 58, dari Kampung Dalam Rhu Pacakan berkata, fenomena itu menjejaskan bekalan ikan yang sebelum ini dibeli dari nelayan tempatan.

Katanya, buat masa ini dia terpaksa mendapatkan bekalan ikan dari Kedah, Perlis dan pantai barat bagi memastikan perusahaan keropok miliknya dapat beroperasi seperti biasa.

"Kesannya, saya terpaksa menanggung kos yang agak tinggi ekoran masalah kekurangan bekalan ikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan pesisiran pantai berada dalam keadaan waspada dan peka dengan arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, sekiranya angin kencang terus melanda penduduk disarankan berpindah dengan kadar segera.

"Kita juga nasihatkan supaya tidak menjalankan aktiviti di laut dan pesisiran pantai terutama ketika monsun timur laut sedang melanda ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga ditegah mendekati kawasan pesisir pantai sama ada untuk bersiar-siar atau berkelah.