SHAH ALAM - Program ‘Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini meriah dengan pelbagai ragam peserta dan penonton.
Lebih 56 pasukan bertanding melalui pelbagai acara sukan termasuk e-sports, basketball shootout, stage games, persembahan pancaragam dan artis popular tanah air.
Usaha Sinar Harian dan Sin Chew Daily turut mendapat pujian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada Sinar Harian dan Sin Chew Daily yang buat julung kalinya bergabung menganjurkan acara sukan terus menyemarakkan semangat Kitalah Malaysia dalam kalangan kita.
Beliau juga memuji pendirian akhbar ini yang berpendirian bebas dengan slogan Telus dan Tulus.
"Kempen Kitalah Malaysia yang dibarakan oleh Sinar Harian semakin diterima oleh masyarakat hari ini. Sinar Harian tampil bersama rakan media Sin Chew Daily untuk program sukan yang saya yakin golongan sasarnya ialah anak-anak muda," katanya ketika berucap merasmikan program ‘Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Operasi Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang dan ikon hoki negara, Datuk Minarwan Nawawi.
Amirudin berkata, bola sepak, futsal dan street soccer sering dilihat dimonopoli oleh remaja Melayu, manakala bola keranjang dikaitkan dengan permainan masyarakat berketurunan Cina.
"Bagaimanapun hari ini Sinar Harian dan Shin Chew ingin membuktikan bahawa dalam sukan tiada jurang pemisah.
"Sukan mampu menyatukan kita, dalam sukan tiada diskriminasi kerana sukan adalah milik kita semua, di stadium, gelanggang, kalau kita bersorak kita bersorak dengan satu suara, kita bersorak untuk Malaysia," katanya.
Menurutnya, usaha yang digembleng ini diharap akan terus disemarakkan lagi pada penganjuran akan datang.
"Saya yakin ia akan menjadi ikutan pelbagai pihak dan pertubuhan NGO di luar sana. Sesungguhnya tugas memastikan keharmonian negara ini adalah tugas kita bersama.
Pada ucapan sama, Amirudin menasihatkan masyarakat supaya tidak menuding jari dan menyalahkan orang lain jika berlaku insiden sebaliknya, muhasabah diri sendiri.
"Apa salahnya kita berlapang dada dan memaafkan sesama kita," katanya.