KUALA TERENGGANU - Padah memukul ibu kandung, seorang lelaki dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Raja Muhammad Faiz Raja Salim, 25, dari Manir di sini mengaku bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibunya, Maimunah Yunus, 68, di sebuah rumah di Kampung Batu Hampar, Manir di sini kira-kira jam 10 pagi pada 4 Julai lalu.
Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman penjara berkuatkuasa dia ditangkap iaitu pada 4 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah, mangsa ada menegur anak lelakinya yang keluar dari bilik air agar menukar pakaian basah sehingga menyebabkan lantai rumah basah dan licin.
Bagaimanapun, bengang ditegur lelaki itu terus menarik rambut dan telinga mangsa sehingga jatuh terduduk di atas lantai sebelum wanita itu menjerit meminta tolong.
Jeritan warga emas itu didengari seorang penjual santan berhampiran rumah mereka sebelum bergegas membantu mangsa dengan meminta lelaki itu melepaskan tangannya daripada terus menarik rambut mangsa.