Pemain pilihan ketiga Lee Shun Yang, muncul juara acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Bawah 21 (B-21) Kebangsaan Celcom Axiata di Arena Badminton Ipoh di Ipoh hari ini.
Shun Yang yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengejutkan pilihan pertama yang juga rakan sepasukan, Kok Jiong Hong 22-20, 20-22, 21-17 pada perlawanan akhir.
Selaku juara, Shun Yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 manakala Jiong Hong meraih RM750.
Terdahulu, dalam perlawanan akhir acara perseorangan wanita, Myisha Mohd Khairul dari Johor menepati ramalan selaku pilihan pertama kejohanan apabila berjaya menumpaskan Tan Mir Er (BAM) 21-12, 21-10.
Kejayaan itu membolehkan Myisha membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala Mir Er sebanyak RM500.
Bagi perlawanan akhir acara beregu wanita pula, pasangan Ng Xi Xuan (Negeri Sembilan)-Siow Hao Shan (Perak) muncul juara apabila menumbangkan gandingan Low Yeen Yuan-Siow Zi Xuan (BAM) 21-14, 20-22, 21-15.
Pilihan pertama kejohanan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala selaku naib juara, gandingan Low-Siow berjaya meraih RM500.
Dalam acara beregu campuran, gandingan Wong Tien Chi (Johor)-Siow Hao Shan (Perak) muncul juara selepas menewaskan pasangan Ooi Jhy Dar-Go Pei Kee (BAM) 21-11, 21-16.
Kejuaraan yang diraih membolehkan pilihan keempat kejohanan itu menerima RM1,000 manakala pasangan Ooi-Go membawa pulang RM500.
Sementara itu, perlawanan akhir bagi kategori beregu lelaki pula menyaksikan pasangan Muhammad Syauqi Mohd Puzi (Kedah)-Wong Tien Chi (Johor) mengejutkan pilihan pertama kejohanan Ooi Jhy Dar-Yap Roy King (BAM) dalam aksi tiga set 21-17, 17-21, 21-10.
Kejuaraan itu membolehkan pasangan berkenaan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,250 manakala selaku naib juara gandingan Ooi-Yap pula membawa pulang RM750. - Bernama