Ibu pencetus tubuh Rumah Ngaji@Rohani

Iklan
Ismail (tengah) pada majlis perasmian Rumah Ngaji@Rohani Bandar Enstek semalam.

SEREMBAN - Hasrat menghantar ibu belajar mengaji al-Quran menjadi faktor penubuhan Rumah Ngaji@Rohani Bandar Enstek di Lorong Kekwa, Kampung Felda LBJ di sini.

Penggerak Rumah Ngaji@Rohani, Julaiha Jaafar berkata, idea penubuhan rumah ngaji ini tercetus selepas ibunya, Rohani Shanudin, 76, meminta untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran untuk mengisi masa lapang.

Iklan
Iklan

"Apabila memikirkan jarak untuk ke Seremban 2 bagi menghadiri kelas mengaji itu sangat jauh, jadi saya terfikir untuk membuka rumah ngaji sendiri di kediaman ibu.

"Alhamdulillah niat saya dipermudahkan ALLAH, saya memohon dan berdaftar dengan Rumah Ngaji Negeri Sembilan selepas mempunyai dua tenaga pengajar di sini," katanya.

Iklan

Menurutnya, Rumah Ngaji@Rohani mula beroperasi pada Oktober lalu dan merupakan Rumah Ngaji ke-32 ditubuhkan di Negeri Sembilan.

"Sejak ibu belajar membaca al-Quran dua bulan lalu, jiwanya terasa sangat tenang, badan bertambah sihat, emosi terkawal dan sentiasa gembira," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rumah Ngaji@Rohani Bandar Enstek di Kampung LBJ dekat sini semalam.

Iklan

Majlis disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Ismail Ahmad yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar negeri.

Dalam pada itu, Ismail menggalakkan semua masjid di DUN Labu menubuhkan Rumah Ngaji bagi membantu kariah di kawasan masing-masing.

Katanya, Rumah Ngaji akan dibuka di Pusat Khidmat DUN Labu pada bulan depan bagi membantu penduduk yang tinggal berdekatan belajar mengaji.