KUALA LUMPUR - Sebanyak empat balai polis komuniti di sekitar daerah Kajang akan ditutup bermula awal tahun depan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata, arahan penutupan empat balai polis komuniti di Kajang dibuat selepas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menjalankan kajian daripada pelbagai aspek.
Beliau berkata, empat balai terbabit ialah Balai Polis Komuniti Taming Jaya, Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Balai Polis Komuniti Sungai Tangkas dan Balai Polis Komuniti Bandar Damai Perdana.
Menurutnya, beberapa faktor menyumbang kepada penutupan itu termasuk langkah penjimatan kos.
"Faktor lain ialah kewujudan balai terbabit secara ‘ad-hoc’ dan tanpa kajian daripada segi lokasi, bangunan, jarak antara balai dan sistem perjawatan.
"Selain itu, penggunaan rumah kedai adalah tidak selamat dan didapati tidak memenuhi spesifikasi mengikut garis panduan serta peraturan bagi perancangan bangunan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
"Malah penggunaan bangunan itu disumbangkan percuma oleh agensi swasta dan pemaju tetapi perjawatan hakiki tidak dapat diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini setelah tular penutupan Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.
Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata, kontrak sewaan bangunan balai terbabit akan tamat pada Februari tahun depan.
"Penutupan balai itu tidak hanya di sekitar Kajang tetapi merangkumi seluruh negara.
"Meskipun balai berkenaan ditutup, penugasan anggota polis di sekitar kawasan balai berkaitan masih berjalan seperti biasa. Mereka akan membuat rondaan pencegahan jenayah dari semasa ke semasa,” katanya.