KUANTAN - Kepayahan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) berakhir selepas menerima kaki palsu hasil rekaan penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Nurul Hasrina Adnan berkata, bantuan itu memudahkan dia bergerak terutama ketika melakukan aktiviti di sekolah.
Menurutnya dia sekeluarga menghargai bantuan KKTM yang membuktikan ada pihak prihatin dengan nasibnya selepas kisah mengenai dirinya di siarkan melalui akhbar Sinar Harian.
"Saya bersyukur dan berterima kasih pada KKTM dan kaki palsu ini akan memudahkan saya bergerak sewaktu di sekolah dan berharap kaki palsu ini selesa untuk saya melakukan aktiviti lain yang sesuai," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun menyerahkan kaki palsu kepada Nurul Hasrina selepas berakhirnya program Back to School 2020@KPLB Yayasan Pelajaran Malaysia di Dewan Ibby Khaldun, KKTM Kuantan.
Sinar Harian pada 5 Mac lalu menyiarkan kisah Nurul Hasrina cacat tanpa kaki kanan selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Seri Mahkota, pada September 2016.
Dalam kejadian itu, Nurul Hasrina yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori dan kaki kanannya hancur akibat digilis lori berkenaan.
Pihak hospital menasihatkan bahagian kaki pelajar itu dipotong bagi menyelamatkan nyawanya dan mengelakkan jangkitan kuman.
Sementara itu, Rina berkata, kaki palsu yang disumbangkan kepada Nurul Hasrina dicipta hasil gabungan idea pensyarah dan penuntut KKTM yang mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri.
"Saya difahamkan komponen pembuatannya berbeza dengan kaki palsu di pasaran.. ini adalah satu inisiatif penghasilan 'Prosthetic leg' yang menggunakan sepenuhnya teknologi dan kepakaran KKTM.
"Kaki palsu ini 50 peratus lebih ringan kerana terdapat beberapa bahan yang kebanyakannya masih baru di pasaran," katanya.