JOHOR BAHRU - Hujan lebat yang berterusan sehingga petang tadi mengakibatkan tebing jalan di kawasan perumahan Jalan Sutera 6/1, Taman Sentosa, Saleng, Kulai dekat sini runtuh.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohamad Haitimi Ahmad berkata, kejadian pada jam 4.49 petang itu mengakibatkan dua kenderaan hampir terjatuh dari runtuhan berukuran 100 kaki persegi berkenaan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Katanya,enam anggota dan satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
"Dua kenderaan yang hampir terjatuh dari runtuhan itu berjaya ditarik ke tempat yang lebih selamat kemudiannya. Ia (kejadian) berlaku disebabkan hujan lebat hingga terdapatnya pergerakan air dalam tanah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Setakat jam 9.00 malam ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir dibuka di daerah Kulai susulan hujan lebat, yang menempatkan 113 mangsa daripada 36 keluarga. - Bernama
Artikel Berkaitan