Ugut cedera ibu, penganggur berdepan hukuman

Iklan
Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu mencederakan ibunya selepas bengang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.

Bagaimanapun, tertuduh, Zulkiflli Ishak, 46, dari Chendering, di sini, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan mahu mencederakan Che Maziah Muhamad,70, di sebuah rumah di Kampung Pantai Peranginan Chendering, di sini, jam 6.15 petang pada 1 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Iklan

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa ada meminta sejumlah wang namun mangsa tidak dapat menunaikan permintaan itu kerana tidak mempunyai wang.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh mengamuk dan kekecohan yang berlaku disedari anak perempuan mangsa yang kemudian datang melihat kejadian itu kerana bimbang tertuduh mengapa-apakan mangsa sebelum dua beranak itu beredar ke dapur.

Tertuduh yang tidak berpuas hati mengekori mereka ke dapur dan sekali lagi meminta wang namun mangsa tetap tidak memenuhi permintaannya menyebabkan tertuduh mengugut mahu mencederakan mangsa.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chendering dan tertuduh ditahan di rumah pada jam 10.06 malam pada hari yang sama.