KANGAR - Tahap kesedaran masyarakat terhadap jenayah pedofilia menunjukkan tren peningkatan yang baik.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sebelum ini kebanyakan orang ramai khususnya ibu bapa dan keluarga mangsa memilih untuk mendiamkan diri.
Menurutnya, mereka tidak mahu membuat laporan polis kerana bimbang akan memalukan nama keluarga.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, orang ramai mulai sedar bahawa pelaku jenayah seksual kanak-kanak perlu dihukum.
"Jumlah kes berkaitan jenayah pedofilia di Perlis meningkat kepada 38 peratus berbanding tahun lalu menunjukkan orang ramai tidak lagi takut atau malu untuk membuat laporan polis,” katanya.
Surina berkata, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 turut membuka ruang kepada orang ramai untuk tampil membuat laporan polis.
"Mengikut akta tersebut mangsa diberikan kelonggaran untuk menceritakan kejadian secara terlindung dengan menggunakan rakaman video kerana kebanyakan mangsa mengalami trauma dan tidak boleh bercakap," katanya.
Beliau berkata, pedofilia adalah gangguan psikologi di mana individu dewasa cenderung melakukan seks terhadap kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
"Pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Jenayah Seksual (D11) mempunyai pakar psikologi yang akan memberi kaunseling kepada mangsa untuk menceritakan kejadian yang menimpanya," katanya.
Menurutnya, antara usaha yang dilakukan oleh unit D11 bagi mencegah jenayah ini adalah memberi ceramah kepada orang ramai khususnya ibu bapa agar mereka mendapat kesedaran tentang jenayah berkenaan.
"Antara pendedahan yang dilakukan adalah memberi pengetahuan kepada ibu bapa cara mudah bagaimana melakukan sentuhan selamat terhadap anak mereka agar tidak berlaku unsur jenayah seksual.
"Penjaga juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka menyentuh anak-anak secara seksual walaupun atas dasar kasih sayang,” katanya.
Katanya, polis menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti penjenayah pedofilia atau individu yang mengalami masalah psikologi tersebut memandangkan mereka kelihatan normal seperti orang lain.