PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima apa-apa perintah daripada mahkamah berhubung hasrat penyandang kerusi, Datuk Seri Anifah Aman mengenai pendengaran semula selepas rayuan untuk kerusi Parlimen Kimanis ditolak Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah sebelum ini, sesuatu perintah mahkamah itu akan sah dan perlu dilaksanakan sehingga ia diketepikan mahkamah yang tertinggi ataupun ada apa-apa perintah untuk menggantung perintah berkenaan.
Iklan
Iklan
"Sekarang kita tidak ada apa-apa perintah penggantungan atau mengenepikan perintah yang telah dibuat, jadi kita akan teruskan prosiding seperti yang diperlukan di bawah undang-undang," katanya kepada pemberita selepas sidang media berhubung pengurusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis di sini hari ini.
Hari ini, SPR menetapkan PRK Parlimen Kimanis, Sabah pada 18 Januari, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 4 Januari.
Ditanya sama ada PRK akan diteruskan jika Anifah membuat rayuan semula, Azhar berkata, ia bergantung kepada apa-apa keputusan mahkamah dan perintah yang dibuat mahkamah.
"Setakat ini, tidak ada perintah berkenaan, jadi kita akan teruskan kerana mengikut perlembagaan, cuma ada 60 hari dari 10 Disember 2019 untuk memenuhi kekosongan di Parlimen itu.
"Jadi perlu diadakan pilihan raya dan menyelesaikannya dalam masa 60 hari sebelum berakhir 7 Februari 2020," katanya. - Bernama