Kawasan pendaratan ikan musnah dilanda ombak kuat

Iklan
Hanafiah (dua dari kiri) meninjau keadaan hakisan yang berlaku di Pantai Kuala Kemasik hari ini.

KEMAMAN - Seramai 220 nelayan bot kecil di Pantai Kuala Kemasik di sini terjejas apabila kawasan pendaratan ikan musnah akibat dilanda ombak besar sejak minggu lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kemasik (PNK), Abd Ghani Ismail berkata, ombak kuat menyebabkan perubahan kawasan sejauh 20 meter daripada arah pantai dengan jarak sepanjang 200 meter.

Iklan
Iklan

"Biasanya lokasi ini menjadi tumpuan nelayan pantai untuk ke laut dan menjual hasil tangkapan.

"Malangnya, ombak kuat yang melanda musim tengkujuh ini menyebabkan kerosakan agak besar yang tidak pernah berlaku di kawasan ini seterusnya menjejaskan kemudahan yang ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurutnya, hakisan yang berlaku menyebabkan kerosakan tujuh premis termasuk rumah, bangsal jualan ikan, surau dan kedai makan.

"Perubahan kawasan di sini akibat masalah hakisan begitu ketara sejak musim tengkujuh. Ada antara penduduk di sini telah meninggalkan kawasan ini sejak awal lagi bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, masalah hakisan di Pantai Kuala Kemasik mendapat perhatian kerajaan dengan peruntukan kira-kira RM600,000 di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membaiki segera kerosakan di kawasan itu.

Katanya, kerja-kerja membina benteng di kawasan itu telah dijalankan sejak dua hari lalu dan dijangka selesai dalam tempoh enam hari.

"Pada asalnya kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak dilakukan di kawasan 200 meter ke arah pantai namun kerosakan yang ketara berlaku sejak 10 Disember lalu menyebabkan kerja-kerja itu dihentikan sementara.

"Usaha kini tertumpu kepada pembaikan kawasan yang rosak teruk akibat hakisan di sepanjang pantai ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke lokasi itu semalam.

Beliau berkata, sebaik kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak dilakukan, keadaan di kawasan itu akan lebih selamat.

"Kita jangka kerja-kerja pembinaan benteng di kawasan itu akan berjalan semula pada Februari depan dan akan selesai pada Jun tahun depan.

Keadaan kawasan terlibat hakisan yang dibaiki sejak dua hari lalu.