TAKUA PA - Ratusan korban tsunami yang membadai Lautan Hindi dan meragut kira-kira 230,000 nyawa 15 tahun lalu masih belum dikenal pasti sehingga ke hari ini.
Di sebuah balai polis di selatan Thailand, barangan peribadi seperti dompet dan alat elektronik masih kemas dalam bungkusan dengan label bukti.
Iklan
Iklan
Menurut Timbalan Komander Polis di daerah Takua Pa, Kolonel Khemmarin Hassini, banyak saluran komunikasi telah ditutup dan petunjuk telah hilang selepas 15 tahun.
"Sekiranya kami ingin mengaktifkan semula operasi, sebahagian daripada 340 mayat yang tidak dikenali pasti dapat dikenal pasti," katanya.
Pihak berkuasa turut berharap identiti mayat yang dikebumikan di kawasan perkuburan terdekat dengan hanya ditanda menggunakan nombor dapat dikenal pasti dan seterusnya disemadikan di tempat lebih baik.
Di Thailand, unit Pengenalan Mangsa Bencana (DVI) melibatkan polis dan pakar forensik berjaya mengenal pasti lebih 3,600 daripada 5,000 mayat dalam tempoh dua tahun.
Pada tahun 2004, gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter mencetuskan tsunami dengan gelombang ombak setinggi 17.4 meter dan mengorbankan ratusan ribu nyawa di 14 negara. - Agensi