Kedah rancang bangunkan industri aeroangkasa

Iklan
Mukhriz (kiri) selepas mempengerusikan Program 'Northern Aeropolis Hub' di Wisma Darul Aman hari ini.

ALOR SETAR - Kedah dalam perancangan untuk membangunkan industri aeroangkasa di negeri ini seiring dengan pasaran kapal terbang yang terus berkembang maju di seluruh dunia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rantau Asia Pasifik antara pasaran yang paling pesat membangun bagi industri itu dan potensi berkenaan perlu diraih oleh Kedah dengan mengambil bahagian dalam pembekalan produk, komponen dan perkhidmatan dalam sektor tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perjumpaan dan perbincangan dengan pemain industri aeroangkasa telah memberi gambaran kepada pihaknya dalam menjadikan negeri ini sebagai hab industri berteknologi tinggi aeroangkasa untuk beberapa tahun dari sekarang.

"Kita mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain dalam industri aeroangkasa yang bukan sahaja datang dari seluruh negara tetapi juga dari beberapa negara asing.

Iklan

"Pertemuan ini adalah untuk mendapatkan maklum balas supaya apabila kita merancang pelan induk industri aeroangkasa.

"Semua perkara yang dibangkitkan ini akan dapat diambil kira," katanya kepada sidang akhbar selepas Program 'Northern Aeropolis Hub' di Wisma Darul Aman hari ini.

Iklan

Antara pemain industri aeroangkasa luar negara yang turut hadir berkongsi pandangan adalah dari Kanada, Amerika Syarikat dan China.

Jelas Mukhriz, kelebihan yang ada di Kedah khususnya dalam teknologi elektronik, teknikal dan tenaga terlatih boleh digunakan di dalam industri aeroangkasa yang mahu diwujudkan itu.

Jelasnya, Kedah juga sudah mempunyai syarikat berteknologi tinggi di Bukit Kayu Hitam seperti Aerospace Composites Malaysia (ACM) Sdn Bhd yang membuat komponen untuk sayap kapal terbang sejak tahun 2000.

"Sebenarnya mereka juga mempunyai keupayaan menakjubkan kerana kualitinya pada tahap tertinggi di Asia Tenggara.

"Ini adalah salah satu contoh yang sebenarnya Malaysia berkeupayaan mengeluarkan produk yang berkualiti di dunia," katanya.