MINGGU lalu, lensa dunia tertumpu kepada seorang figura yang pernah mengagumkan masyarakat antarabangsa.
Dengan wajahnya yang lemah lembut, siapa yang mampu melupakan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Perjuangannya untuk cuba membebaskan Myanmar daripada cengkaman pemerintahan junta tentera termasuk dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun menjadi inspirasi antarabangsa.
Malah pada tahun 1991, pengorbanan Suu Kyi membolehkan dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nobel Keamanan.
Ironinya selepas 28 tahun, kisah Suu Kyi berubah 360 darjah. Di mata masyarakat dunia kini, Suu Kyi bukan lagi pejuang demokrasi sejati, malah lebih dahsyat pemimpin de facto Myanmar itu terpaksa berdepan dengan 17 hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda minggu lalu.
Dunia mengecam Suu Kyi yang disifatkan bersekongkol dengan pihak tentera malah membiarkan etnik Rohingya di Rakhine, sebuah negeri di Myanmar dizalimi apabila dibunuh, dirogol, dibakar sehingga akhirnya terpaksa menjadi pelarian di negara asing.
Syabas dan terima kasih Gambia, kerana selepas bertahun-tahun masyarakat Rohingya digelar etnik paling malang di dunia dan bangsa tanpa negara, akhirnya Gambia dengan sokongan 57 buah negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagaikan menyapu air mata warga Rohingya.
Namun, dalam hujah pembelaannya, Suu Kyi menafikan Myanmar melakukan penghapusan etnik Muslim di Rakhine.
Suu Kyi mendakwa dalam usaha Myanmar melawan kegiatan terrorisme di Rakhine, ada dalam kalangan tentera Myanmar melakukan kezaliman. Namun, Suu Kyi bertegas Myanmar tidak pernah sesekali terlibat dalam usaha pembersihan etnik Rohingya.
Malah untuk menutup pembelaannya dengan imej positif, Suu Kyi menunjukkan sekeping foto perlawanan bola sepak di Maungdaw, utara Rakhine sambil menegaskan daerah itu kini menuju damai.
Namun, Suu Kyi mungkin terlupa di saat dia mempunyai sekeping foto, dunia memiliki puluhan ribu foto penderitaan etnik Rohingya. Baik 700,000 yang sedang hidup dalam pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh atau yang lari mendapat perlindungan di negara lain.
Persoalannya kini, mampu ICJ dan dunia memberi keadilan kepada etnik paling malang di dunia itu?