KUALA LUMPUR - Persiapan bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di ibu negara berjalan lancar dan kini sudah hampir siap.
Setiausaha Agung Bersama Sidang Kemuncak KL, Tan Sri Samsudin Osman berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan kelancaran persediaan sidang kemuncak itu.
"Cuma ada beberapa perkara lagi yang perlu kita perkemaskan seperti kekemasan dewan dan aturan tempat duduk bagi tetamu khas,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri raptai awal majlis perasmian sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Samsudin berkata, raptai penuh bagi majlis perasmian itu akan dijalankan esok.
"Kita mahu pastikan apa yang kita lakukan akan berjalan seperti yang dirancang dan pada hari tersebut tidak berlaku sebarang masalah,” katanya.
Sidang Kemuncak KL berlangsung dari Rabu hingga Sabtu dan didahului sidang kemuncak belia esok dan Rabu.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati kawalan keselamatan mulai diperketatkan di KLCC serta kawasan sekitarnya.
Para petugas teknikal giat membuat persiapan akhir memasang ‘backdrop’ dan menyiapkan dewan utama persidangan, dewan plenari, selain di bilik media yang akan menempatkan petugas media dalam dan luar negara.
Turut kelihatan, gegantung di sepanjang jalan utama berhampiran KLCC seperti di Jalan Pinang dan Jalan P. Ramlee yang memaparkan perkataan ‘Welcome to Kuala Lumpur Summit 2019’.
Sidang kemuncak berkenaan, bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu yang menimpa dunia Islam dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam serta negara Islam dijadual dihadiri pemimpin, pemikir, intelektual dan cendekiawan dari seluruh dunia. - Bernama