Penduduk Taman Sutera bimbang jalan runtuh

Iklan
Dua kenderaan yang diletakkan berhampiran tebing jalan di Jalan Sutera 6/1 Taman Sentosa Saleng dekat Kulai hampir terjatuh berikutan tanah runtuh pada 4.49 petang tadi hari ini. -Foto Bernama
KULAI - Penduduk di kawasan perumahan Jalan Sutera 6/1, Taman Sutera dekat Kulai di sini bimbang tentang keselamatan mereka setelah digemparkan dengan kejadian tebing jalan berhampiran kediaman mereka runtuh berikutan hujan lebat semalam.

Seorang penduduk yang menyaksikan kejadian itu Mohamad Yusof Daud, 60, berkata, kejadian pada kira-kira 4 petang itu disedari berlaku apabila pohon besar di tebing berkenaan mula bergoyang selain terdapat dua kenderaan hampir terjunam.

Katanya, kawasan tebing jalan itu kebiasaannya menjadi tempat meletak kenderaan penduduk di jalan terbabit.

"Pada mulanya saya hendak meletak kenderaan di tebing itu, tetapi tidak sedap hati bila lihat sebuah pokok besar di tebing itu tiba-tiba bergoyang.

"Sebaik turun dan meninjau, saya lihat tebing itu runtuh dan dua kenderaan di situ hampir menjunam ke bawah,” katanya yang bekerja sendiri kepada Bernama di sini hari ini.

Dia menjelaskan, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sejak dia menetap di kawasan perumahan terbabit kira-kira 15 tahun lepas.

"Memang ada nampak hakisan sebelum ini, tapi tidak sangka akan runtuh ...memang takut, ” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Sementara itu, ibu kepada empat orang anak, Haslina Abdul Rahim,38, turut bimbang dengan kejadian itu kerana kawasan tebing jalan itu sering menjadi tempat kanak-kanak bermain.

"Risau sebab budak-budak suka bermain di situ, kita takut perkara yang tidak diingini berlaku,” kata peniaga itu yang berharap pihak berwajib segera menyelesaikan masalah itu.

Semalam, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohamad Haitimi Ahmad menerusi kenyataan berkata, runtuhan berukuran 100 kaki persegi itu hampir membuatkan dua kenderaan terbabit terjatuh, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Dua kenderaan yang hampir terjatuh dari runtuhan itu berjaya ditarik ke tempat yang selamat kemudiannya. Ia (kejadian) berlaku disebabkan hujan lebat hingga terdapatnya pergerakan air dalam tanah,” katanya. - Bernama