ROMPIN - Wanita orang asli keturunan Jakun dari Kampung Denai, Rohayani Ali antara yang paling lega apabila berjaya keluar dari kampung tersebut dengan menaiki trak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang hari ini.
Ini kerana, Rohayani, 27, yang masih berpantang selepas bersalin 21 hari lalu tidak dapat membawa bayinya, Nor Syakina Osman yang dilahirkan tidak cukup bulan menjalani pemeriksaan doktor yang sepatutnya dijadualkan tiga hari lalu.
"Kami tidak dapat keluar kerana jalan masuk sudah ditenggelami air...risau pada anak kerana mengikut jadual dia perlu diperiksa setiap minggu dan kami sebenarnya mengambil risiko membawa anak pulang walaupun tidak digalakkan doktor.
"Keputusan membawa anak keluar lebih awal dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan kerana suami bekerja di Kahang, Johor.
"Jadi sukar untuk dia berulang-alik jika kami masih berada di Kuantan," katanya semasa ditemui hari ini.
Rohayani berkata, sebaik sahaja mendengar kehadiran bomba untuk menyampaikan bantuan makanan yang turut disertai pasukan perubatan menyebabkan dia segera membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan sebelum dinasihatkan untuk keluar dari kampung itu.
Katanya, pasukan keselamatan itu menasihatkan dia dan anaknya dibawa ke Hospital Rompin sebagai langkah keselamatan kerana bimbang jika banjir berlanjutan akan terus menyukarkan bayi itu menjalani rutin pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, penduduk kampung Hamdan Awang, 40, berkata, mereka catu makanan sejak tiga hari lalu kerana bimbang kehabisan stok ekoran tidak boleh keluar membeli di pekan Tanjung Gemok selain sebuah kedai runcit kecil yang diusahakan penduduk di situ sudah 'kosong'.
"Kebanyakan penduduk di sini hanya menggunakan motosikal dan ada yang memiliki kereta, namun laluan masuk yang ditenggelami air hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.
"Kami terkurung di sini. Pengalaman banjir yang teruk juga kali terakhir ialah sekitar 2006 lalu, menyebabkan ramai antara kami tidak menyangka keadaan boleh berlaku seperti ini sehingga tidak membuat persediaan secukupnya," katanya.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi menghantar bekalan makanan kepada 47 penduduk kampung yang terputus hubungan itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang.- Bernama