Kos penyelenggaraan kapal selam tinggi sudah dijangka

Iklan
Muka hadapan Sinar Harian hari ini.

SHAH ALAM - Kos penyelenggaraan aset pertahanan negara termasuk kapal selam yang menelan belanja tinggi sebenarnya sudah dijangka kerana pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk daripada segi kepakaran syarikat yang dilantik untuk menguruskannya.

Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, justeru itu tidak semua negara mampu memiliki kapal selam memandangkan bagi menguruskannya memerlukan kos begitu tinggi dan bukan sahaja merangkumi aspek penyelenggaraan tetapi juga merangkumi soal latihan, kepakaran dan sumber manusia.

Iklan
Iklan

"Untuk menjadi sebagai sayap tentera laut berwibawa, kita memerlukan aset pertahanan yang amat canggih, justeru itu sudah pastinya menelan kos yang tinggi.

"Apatah lagi kapal selam selaku aset laut yang mempunyai keupayaan hebat, sehubungan itu penyelenggaranya menelan belanja kerana manfaatnya kepada soal kedaulatan serta keamanan tanah air," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam nada sama, penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, tiada istilah mahal dalam menguruskan aset pertahanan seperti kapal selam kerana penyelenggaraan adalah 'sofistikated' dan pelbagai faktor telah diambil kira sebelum kerajaan memutuskan untuk membuat pembelian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kos selenggara sebuah kapal selam RM100 juta setahun

Iklan

Katanya, negara amat memerlukan kapal selam kerana kedudukan tanah air yang mempunyai perairan begitu luas sekali gus soal pertahanan negara perlu dilihat daripada pelbagai aspek.

"Ramai yang mempersoalkan mengapa beli sedangkan kos begitu mahal, sebenarnya ia melengkapkan keperluan aset pertahanan laut negara yang merangkumi dasar laut, permukaan perairan dan udara.

"Beli aset ini macam beli insurans kesihatan, walaupun mahal tetapi akhirnya memberi pulangan besar kepada kita. Kalau tidak beli insurans, nanti suatu hari kita sakit, bagaimana untuk membayar kos rawatan hospital. Perkara sama juga berlaku kepada penyelenggaraan kapal selam," katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dalam Dewan Negara memaklumkan kos penyelenggaraan sebuah kapal selam milik negara yang dikendalikan oleh TLDM adalah RM100 juta setahun dan ia meliputi perkhidmatan sokongan operasi serta logistik.