PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp percaya Atletico Madrid tidak gembira apabila keputusan undian Liga Juara-Juara menyaksikan kelab Sepanyol itu perlu bertemu The Reds dalam aksi 16 pasukan terbaik yang dijadualkan pada Februari tahun depan.
Menurut Klopp, beliau yakin pengendali Atletico, Diego Simeone tidak mengharapkan untuk bertemu dengan penyandang juara itu seawal pusingan 16 pasukan terbaik yang bakal memberikan kesukaran untuk mereka melangkah lebih jauh dalam kejohanan Eropah musim ini.
"Sebelum undian saya fikir kami akan bertemu Real Madrid kerana kemungkinannya sangat besar. Tetapi, ia tidak berlaku dan diundi bertemu Atletico.
"Namun, ia tetap undian yang bagus dan perlawanan yang sukar seperti dijangka. Tetapi saya tidak fikir Simeone gembira dengan keputusan undian ini apatah lagi perlu bertemu kami.
"Ia akan menjadi saingan sengit dengan kedua-dua pasukan bermain corak permainan yang pantas. Tetapi, saya percaya kedua-dua pasukan sudah bersedia untuk beraksi," katanya.
Dalam pada itu, Klopp juga percaya gelanggang keramat Atletico iaitu Wanda Metropolitano tidak menghadirkan gerun buat Liverpool apatah lagi stadium itu pernah menjadi saksi kejayaan The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu.
"Wanda Metropolitano adalah tempat kami meraih memori manis musim lalu, namun ia tidak akan sama kerana stadium itu adalah gelanggang sendiri buat Atletico.
"Namun, ia bukan masalah kerana kami sudah ada pengalaman beraksi di sana. Bagaimanapun, kami perlu bersedia kerana Atletico bukan pasukan yang lemah dan memiliki keupayaan tersendiri," katanya.
Klopp juga menyifatkan persaingan semua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara kali ini cukup sengit melihatkan beberapa pasukan besar bertemu sesama sendiri termasuk undian yang menyaksikan Manchester City akan bertemu Real Madrid.
Liverpool diletakkan sebagai pilihan untuk mengatasi Atletico dalam pusingan 16 pasukan terbaik itu selepas mempamerkan persembahan konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris, manakala El Atleti pula bergelut dalam saingan La Liga dan ketinggalan enam mata di belakang Barcelona dan Real Madrid dalam persaingan kelompok teratas liga Sepanyol itu.