SHAH ALAM - Seramai 3,185 orang diberkas dalam Ops Dadu Calling Center di seluruh negara sejak awal Januari hingga 12 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, jumlah tangkapan tersebut adalah hasil 181 serbuan yang telah dilaksanakan.
"Hasil semakan mendapati seramai 2,661 warga China telah diberkas dalam operasi itu," katanya.
Huzir berkata, pihaknya turut merampas 258,121 peralatan mesin termasuk komputer, tab dan telefon bimbit.
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM237,015 dalam serbuan tersebut," katanya.
Menurutnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor telah membuat serbuan dan tangkapan yang terbanyak dalam operasi itu.
"IPK Kuala Lumpur telah melaksanakan 90 serbuan dan IPK Selangor pula 40 serbuan calling center," katanya.
Huzir berkata, sebanyak 141 kes telah dituduh di mahkamah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959.
"Seramai 350 suspek termasuk 35 wanita yang ditangkap itu telah diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan (Poca)," katanya.