NEW DELHI - Mahkamah Agung India pada Isnin menetapkan esok untuk mendengar satu petisyen yang mencabar kesahihan Akta Pindaan Perlembagaan (CAA) kontroversi yang diluluskan baru-baru ini dari segi perlembagaan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai.
"Satu panel Mahkamah Agung yang dipengerusikan Ketua Hakim S A Bobde berkata, permohonan itu akan didengar bersama-sama isu tertunggak lain pada Rabu (esok)," kata seorang pegawai.
Iklan
Iklan
Hampir 12 petisyen berasingan telah difailkan terhadap CAA di Mahkamah Agung.
Undang-undang itu bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin yang menganut enam agama iaitu Hindu, Sikh, Buddha, Jainisme, Parsi dan Kristian dari Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan.
Bagaimanapun, ia menghalang pendatang Islam daripada memohon kewarganegaraan.
Parti pembangkang dan anggota masyarakat sivil di India mengkritik undang-undang itu sebagai bercanggah dengan prinsip sekular yang termaktub dalam Perlembagaan India kerana mengecualikan orang Islam.
Melalui undang-undang itu, kerajaan akan memberikan kewarganegaraan India kepada pendatang bukan Islam yang memasuki negara tersebut secara haram sehingga 31 Disember 2014. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Rakyat India bantah beri kerakyatan kepada negara jiran