Akauntan restoran nasi kandar terkenal mengaku buat laporan palsu

Iklan
Shamsuden mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuat laporan palsu kononnya disamun 9 Disember lalu. (Kanan: Jamil Ahmad mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan sama dan minta dibicarakan.)

GEORGETOWN - Seorang akauntan restoran nasi kandar terkenal mengaku bersalah atas tuduhan membuat laporan polis palsu pada 9 Disember lalu di Mahkamah Majistret di sini tadi.

Tertuduh, Shamsuden Rahman Khan, 43, yang juga warga India membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat kepada seorang pegawai polis secara lisan iaitu rakaman percakapan palsu dengan niat untuk menyebabkan pegawai polis itu menggunakan kuasa yang tidak sepatutnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Dalam rayuannya, tertuduh memohon denda terhadapnya dikurangkan berikutan perlu menanggung keluarganya yang tinggal di Madurai, India selain bersedia untuk membayar denda tersebut.

Rosnee menetapkan denda RM2,000 dan sebulan penjara terhadap Shamsuden bermula tarikh ditangkap.

Iklan

Sementara itu di mahkamah berasingan, rakan tertuduh yang juga penyelia restoran yang sama, Jamil Ahmad Mohd Adam, 40, turut berdepan pertuduhan sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan terhadapnya itu yang dibacakan di hadapan Majistret L Umma Devi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Dr N Ahilan.

Umma Devi membenarkan Jamil Ahmad diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes ditangguh pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Sungai Nibong antara jam 3 petang pada 9 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua pekerja sebuah restoran nasi kandar terkenal sanggup mereka cerita kononnya disamun bagi menutup perbuatan mereka untuk melarikan wang hasil jualan restoran terbabit berjumlah RM122,555.

Dalam laporan polis yang dibuat, mereka mendakwa kononnya disamun ketika dalam perjalanan ke bank di Bukit Jambul untuk memasukkan wang kutipan hasil restoran tempat mereka bekerja.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati dua pekerja terbabit mengaku kejadian itu tidak berlaku dan cerita mereka disamun hanyalah rekaan semata-mata.