Lori beras terbalik di lampu isyarat

Iklan
Gelagat beberapa orang awam ketika mengerumuni lori beras yang terbalik dalam kemalangan itu.

KULAI - Sebuah lori yang membawa muatan beras dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat KM 2 Jalan Senai - Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu pemandu bersama dua kelindan lelaki lori berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori dari arah Seelong ke Pekan Senai hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kereta yang sedang menurunkan penumpang.

"Kejadian itu mengakibatkan lori berkenaan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah laluan ke arah Pekan Senai.

Iklan

"Kemalangan bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, operasi mengalihkan lori itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.

Iklan

"Beberapa anggota polis turut ditugaskan di lokasi untuk mengawal aliran trafik sementara kerja-kerja pembersihan jalan dan mengalihkan lori yang terbaik dijalankan pihak bomba,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video di Facebook gelagat orang ramai di kawasan itu mengambil bungkusan beras dari lori berkenaan.