SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sentiasa melindungi pencarum yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat, pengoperasian syarikat atau mereka yang memilih untuk pemberhentian secara sukarela (VSS) dan pemberhentian secara wajib (MSS).
Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata, faedah sistem insurans pekerjaan ini juga akan diberikan kepada orang berinsurans (OB) yang mengemukakan notis keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 (Akta 4) dan kehilangan pekerjaan disebabkan masalah kesihatan mulai 1 Januari 2020.
"Sejak Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 diperkenalkan, sebanyak 35,564 permohonan diterima Interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tahun lalu dan 7,810 permohonan diproses di Perkeso Selangor sebelum pelaksanaan penuh faedah SIP.
"Sebanyak 6,407 permohonan interim diluluskan membabitkan sebanyak sebanyak RM3.84 juta," katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 23,251 diproses daripada 57, 593 permohonan faedah SIP yang diterima tahun ini.
Bagaimanapun katanya, hanya 20,107 permohonan diluluskan di peringkat Perkeso Selangor yang melibatkan Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan serta Latihan.
"Perkeso Selangor menerima bayaran sebanyak RM18.21 juta membabitkan RM92.66 juta dari seluruh negara.
"Manfaat SIP Perkeso kini diberikan melalui Elaun Mencari Pekerjaan. Orang berinsurans juga akan dibantu untuk mendapat pekerjaan baru jika mereka masih bermotivasi untuk bekerja semula di bawah Program Penempatan Pekerjaan yang diuruskan oleh Unit Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di Selangor," katanya.