SIMPANG RENGGAM - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Sungai Linau, Kampung Parit Dol Salam di sini, petang tadi.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Mayat Muhd Danis Irfan, 16, ditemukan kira-kira jam 2.30 petang oleh penduduk kampung berhampiran jejantas, lokasi dia tergelincir.
Mohd Abduh berkata, mangsa bersama saudara lelakinya dan dua rakan lelaki dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kampung Parit Haji Salam kira- kira jam 1 tengah hari tadi.
"Sebaik tiba di hadapan rumah rakannya itu, mangsa telah tergelincir dari jejantas dan terjatuh ke dalam parit.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan air yang keruh membuatkan mangsa dan rakannya tidak dapat mengenal pasti jejantas yang harus dilalui untuk ke rumah terbabit.
"Akibatnya mangsa dan rakannya tergelincir dan masuk ke parit. Mangsa cuba diselamatkan tetapi gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Kluang untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Renggam, Penolong Kuasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, sembilan anggota dari BBP Renggam dan sebuah jentera serta pacuan empat roda jenis Hilux bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 2 petang.
Difahamkan laluan untuk ke Sungai Linau yang menjadi lokasi mangsa lemas terputus akibat banjir.
Terdapat sebuah pusat penempatan sementara (PPS) dibuka dalam jarak kira-kira 7 kilometer lokasi kejadian iaitu PPS SK Sungai Linau yang menempatkan 181 mangsa banjir sejak Sabtu lalu.