Kes Altantuya: Permohonan semakan difailkan Azilah didengar 20 April

Iklan
Azilah, Altantuya dan Sirul

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azniza Mohd Ali menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapannya di dalam kamar.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun dan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memberitahu media, mahkamah memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan afidavit dan afidavit balasan kepada permohonan itu sebelum pendengaran pada 20 April.

Norinna berkata, pemohon (Azilah) memfailkan permohonan minggu lepas bersekali dengan afidavit yang mengandungi Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong permohonannya.

Iklan

Beliau berkata, pendakwaan akan meneliti afidavit dan SD itu sebelum menjawab afidavit pemohon.

Peguam, J Kuldeep Kumar, yang mewakili Azilah mengesahkan anak guamnya memfailkan permohonan itu minggu lepas mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 bersekali dengan SD.

Iklan

Media Malaysia hari ini menyiarkan berita di muka depan bahawa Azilah dalam SD itu, mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika kejadian merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, anak guamnya memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 dan suatu perintah bagi perbicaraan semula.

Azilah, 43, yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang memfailkan permohonan pada 5 Disember tahun ini yang mengandungi SD setebal 32 muka surat.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib memberitahu media, anak guamnya telah mengarahkan beliau supaya memfailkan permohonan untuk mencelah dalam permohonan semakan itu.

Peguam itu berkata, Najib menafikan sekeras-kerasnya segala perkara yang didakwa (oleh Azilah) itu.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo turut memberitahu media, beliau akan memohon kepada mahkamah untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya dalam permohonan itu.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK berhubung pembunuhan Altantuya dan menjatuhi hukuman mati mandatori.

Mahkamah itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka berdua.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel hakim pada masa itu turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar kerana tidak hadir di mahkamah.

Sirul Azhar, 47, berada di dalam sebuah pusat tahanan di Australia sejak beberapa tahun lepas setelah dia melarikan diri ke negara itu pada 2014 semasa dalam jaminan.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membenarkan rayuan yang dikemukakan kedua-dua anggota polis komando itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh wanita itu dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 55, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008, selepas membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan itu. - Bernama