Pengalaman jadi Permaisuri Selangor dikongsi dalam buku

Iklan
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama buku My First Year Journey From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Kisah permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam buku bertajuk My First Year Journey From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience.

Buku mewah setebal 133 muka surat itu adalah hasil nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman dan dijual pada harga RM160 senaskhah dengan sebahagian hasil daripada pembelian itu akan disalurkan kepada kempen Stray Free Selangor bagi membantu haiwan jalanan.

Iklan
Iklan

Tengku Permaisuri Norashikin ialah Penaung Diraja bagi kempen tersebut yang dianjurkan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017.

Buku berbahasa Inggeris itu dilancarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Pustaka Raja Tun Uda di sini kelmarin.

Iklan

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa penerbitan buku tersebut adalah bagi berkongsi pengalaman baginda menempuh perkara baharu buat pertama kali sebagai Tengku Permaisuri Selangor, terutamanya membabitkan protokol istana dan adat istiadat dalam Balairung Seri.

"Tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

Iklan

"Saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku ini walaupun pada masa sama, perasaan saya bercampur-baur dan kadangkala berbelah-bahagi, apatah lagi saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi sejak dahulu,” titah baginda.

Sementara itu, bercerita mengenai buku berkenaan, Norely berkata, beliau mengambil masa hampir tiga tahun untuk melengkapkan isi kandungannya kerana jadual Tengku Permaisuri Norashikin yang padat.

Menurutnya, walaupun pada awalnya Tengku Permaisuri Selangor agak keberatan untuk berkongsi kisah hidupnya dengan menyifatkan dirinya sebagai ‘tidak menarik’, beliau cuba meyakinkan adik bongsunya itu bahawa rakyat pastinya ingin tahu pengalamannya.

"Satu perkara yang saya perhatikan adalah apabila seseorang berada ‘di atas’, ramai akan mengidolakan mereka tanpa tahu cerita sebenar.

"Orang boleh memuji dan mengeji, disebabkan itu saya berpendapat adalah lebih bagus jika rakyat tahu daripada mana asal usul kita dan kisah di sebaliknya," katanya.

Ditanya sama ada buku berbahasa Inggeris itu akan diterjemah ke dalam bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pelbagai latar belakang pembaca pada masa hadapan, Norely berkata, ia akan ditentukan oleh pihak Sultan Selangor sendiri. - Bernama