KSN nafi lima KSU bakal ditukarkan hujung minggu ini

Iklan
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda bergambar selepas selesai perasmian pada majlis Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Laporan berita perpindahan lima ketua setiausaha (KSU) dari pelbagai kementerian yang didakwa akan ditukarkan menjelang minggu ini adalah tidak tepat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, laporan daripada beberapa portal berita tempatan yang turut mendakwa keputusan pertukaran itu adalah atas permintaan menteri juga tidak betul dan hanya bersifat persepsi semata-mata.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak mendengar keputusan pertukaran lima KSU terbabit selain tidak pernah menerima permintaan pertukaran mereka daripada pihak menteri.

"Laporan itu tidak betul, semua tidak betul...kena tanya siapa yang tulis laporan (berita) itu dapat sumber dari mana.

Iklan

"Setakat ini saya tidak dengar (keputusan menukar lima KSU) secara rasmi, itu hanya persepsi orang...setakat ini juga tiada lagi permintaan pertukaran KSU daripada mana-mana menteri," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan lima kementerian akan menyaksikan pemindahan beberapa pegawai kanan minggu ini yang dilihat sebagai sebahagian perubahan dalam lapan kementerian menjelang akhir tahun atas permintaan menteri.

Iklan

Laporan beberapa portal media tempatan memetik kenyataan sumber kerajaan yang mendakwa pemindahan pegawai-pegawai itu akan melibatkan KSU Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Sumber Manusia dan Pembangunan Usahawan.

Sebelum ini, keputusan pertukaran bekas KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat.

Keputusan itu didakwa dibuat susulan kontroversi membabitkan tender padi bernilai RM1.4 bilion dan terdapat unsur sabotaj menteri oleh individu berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan perpindahan Mohd Sallehhuddin adalah pertukaran biasa antara kementerian dan jabatan kerajaan.

Terdahulu, Dr Ismail berkesempatan merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.

Sementara itu, Dr Ismail dalam ucapan perasmian meminta semua pihak tidak mengamalkan sikap tuduh-menuduh dengan mengatakan penjawat awam cuba mensabotaj kerajaan sedia ada dengan cuba mewujudkan 'daulah terpendam'.

Menurutnya, semua penjawat awam sudah dilatih dengan sumpah dan ikrar keramat untuk sentiasa patuh dan komited dengan kerajaan yang memerintah ketika ini (government of the day).

"Atas sebab itu, sangat penting untuk setiap penjawat awam mengekalkan integriti sewaktu menyampaikan perkhidmatan dengan mereka jangan sentiasa mempersoalkan dasar diperkenalkan kerajaan sedia ada.

"Sesetengah pihak cuba mempersoalkan kesetiaan penjawat awam dan hal ini perlu kita tangani dengan cara kita menunjukkan komitmen kerja jitu dan taat setia kepada kerajaan memerintah hari ini," katanya.