LTTE: Keputusan jamin tiga individu termasuk dua ADUN esok

Iklan
Gunasekaran ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.

MELAKA TENGAH - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan esok (Rabu) bagi membenarkan ikat jamin terhadap tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membabitkan penglibatan dalam kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) atau sebaliknya.

Mereka yang didakwa termasuk ADUN Gadek, G Saminathan, ADUN Seremban Jaya, PGunasekaran dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru.

Iklan
Iklan

Keputusan mahkamah yang berjalan lebih tiga jam itu dibuat oleh Hakim Elesabet Paya Wan setelah mendengar hujah sokongan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh manakala pihak pendakwaan diwakili Mohd Izhanudin Alias dan Alif Asraf Anuar.

Saminathan diiringi anggota polis sebelum dibawa menaiki van polis meninggalkan pekarangan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Ketika awal prosiding kes, Izhanudin memohon empat pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selain hujahan jaminan juga didengari di mahkamah tersebut.

Iklan

Izhanudin berkata, ia dibuat mengikut sijil Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah iaitu mana-mana kesalahan melibatkan keganasan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian hanya membenarkan perbicaraan kes dipinda ke Mahkamah Tinggi Kuala lumpur sebelum membenarkan pihak pembelaan mengemukakan afidavit sokongan jaminan terhadap tiga notis usul yang telah dikemukakan pada minggu lalu.

Iklan

Ramkapal ketika sesi hujahan sokongan jaminannya berkata, badan kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin.

Dalam hujahnya lagi, ia mengambil kira rekod cemerlang ketiga-tiga tertuduh sebagai ADUN juga ketua perbadanan, tidak menjadi halangan untuk mahkamah membenarkan jaminan selain kesemua tertuduh boleh diperintahkan menggunapakai peranti pemantau elektronik (EMD) dan melaporkan diri ke balai polis setiap hari.

Chandru turut dikawal ketat pihak polis sebelum meninggalkaMahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Elesabet bagaimanapun memutuskan perbicaraan terhadap empat pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala keputusan jaminan diputuskan di Mahkamah Sesyen Melaka petang esok.

Terdahulu pada 1 November lalu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan kesemua 12 individu yang ditahan SOSMA untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka telah didakwa di mahkamah sesyen di beberapa buah negeri pada 29 dan 31 Oktober lalu atau pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.