MARANG - Seindah namanya, Lovely Bastik, 26, nyata mencuri tumpuan ramai pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 1/2019 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di sini hari ini.
Dia antara 689 pelatih yang ditauliahkan setelah mengharungi latihan selama empat bulan setengah di akademi itu.
Bukan sahaja aktif dan lasak, gadis manis yang berasal dari Papar, Sabah ini juga berkebolehan menyanyi.
Menurut Lovely, hari ini adalah hari yang cukup bermakna baginya apabila hasrat untuk menjadi anggota bomba akhirnya tercapai.
"Sebelum ini, saya bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu selama setahun lapan bulan. Saya sebenarnya sukakan aktiviti lasak sebab itu saya mohon untuk jadi anggota bomba.
"Sepanjang latihan, saya kena buat apa yang lelaki buat. Rasa mental ‘down’ sangat bila terpaksa angkat dan bentang hos berkali-kali, kawad operasi juga mencabar tapi saya berjaya melakukannya,” kata gadis Kadazan ini.
Jelas Lovely, nama itu diberikan ayahnya, Bastik Mojilus, 63, mungkin disebabkan dia merupakan anak bongsu daripada lima beradik.
Mengakui banyak insiden melucukan disebabkan namanya itu, Lovely memberitahu ramai yang tidak mempercayainya sehinggalah dia menunjukkan tag nama.
"Kena usik itu memang biasa. Ada kalanya mereka panggil nama saya berulang kali Lovely, Lovely, Lovely. Saya tidak marah malah menyahutnya dengan gembira,” katanya.
Ditanya sama ada dia sudah mempunyai teman istimewa, Lovely mengakui sudah mempunyai buah hati yang juga anggota bomba di Lapangan Terbang Tawau, Mohd Izat Suhaimi, 27.