KUALA LUMPUR - Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bermula esok hingga Sabtu ini bukan bertujuan untuk membentuk blok baharu seperti dimaksudkan oleh beberapa pengkritiknya.
Menurut kenyataan itu, sidang kemuncak itu bukan merupakan platform untuk membincangkan soal agama atau hal ehwal agama tetapi khusus untuk menangani kedudukan dan keadaan umat Islam.
"Sebagai negara kecil, Malaysia amat menyedari batasan dan keupayaannya. Kami hanya cuba menyumbang apa yang sedikit yang kami boleh lakukan untuk kesejahteraan ummah,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan sebuah laporan yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur itu bertujuan menjadi platform untuk menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pejabat Perdana Menteri itu berkata, Dr Mahathir ingin membetulkan beberapa maklumat yang tidak tepat dalam laporan tersebut.
Kenyataan itu menyebut Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang masuk edisi kelima tahun ini, merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan yang disokong oleh kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, anggota masyarakat Islam kini berdepan dengan penindasan, pemenjaraan jutaan umat Islam, diletakkan dalam kem tahanan serta terjejas dengan perang sivil yang mengakibatkan kemusnahan bandar raya dan negara sehingga mendorong kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam ke negara-negara bukan Islam.
Ia menyebut umat Islam turut menghadapi peningkatan Islamophobia dan amalan tidak rasional yang melanggar rukun Islam tetapi menyebarluaskannya atas nama Islam.
"Kebimbangan inilah yang mendorong kepada penubuhan sidang kemuncak ini dan edisi tahun ini cuba menjangkaui perdebatan intelektual dan perbincangan.
"Sebaliknya (ia akan) meneruskan langkah-langkah khusus, teras atau objektif yang dianggap dapat dicapai dan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Ia menegaskan sidang kemuncak itu amat menyedari bahawa untuk meneruskan teras dan objektif tersebut dengan sebuah kumpulan yang terlalu besar akan hanya menjadikannya sukar dan mungkin gagal sebelum ia bermula.
Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa pemilihan negara-negara penting sebagai peserta sidang kemuncak itu adalah untuk tujuan khusus tetapi senarai itu tidak lengkap sehingga inisiatif tersebut mula dilaksanakan.
Menurutnya, sidang kemuncak ini cuba mencetuskan pendekatan baharu dalam kolaborasi ummah.
"Sekiranya ia dapat mencapai sesuatu, maka ia akan dapat dikemukakan kepada kumpulan dan negara Islam yang lebih ramai untuk menilai sama ada inisiatif ini perlu dilaksanakan dalam skala yang lebih besar,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, hanya beberapa pemimpin negara sahaja telah diminta mengambil bahagian pada sidang kemuncak tersebut.
"Tetapi Malaysia ingin mengulangi bahawa semua 56 negara dalam dunia Islam dijemput dan kesemua mereka diwakili di pelbagai peringkat,” katanya.
‘Kami berdoa agar inisiatif kami akan menerima berkat ALLAH SWT,” katanya. - Bernama