SHAH ALAM - Tiada sebarang tindakan lanjut akan diambil terhadap bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang berdepan siasatan Lembaga Disiplin UMNO atas tuduhan melanggar Perlembagaan dan tata etika sebagai ahli parti.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kes tersebut sudah selesai sama seperti yang dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam.
"Saya juga telah menyentuh mengenainya (isu Hishammuddin) ketika Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
"Oleh itu, tiada tindakan lanjut akan diambil kerana kes telah selesai sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid juga menegaskan surat tunjuk sebab yang tersebar sejak semalam adalah tidak sah.
Sebelum itu, tersebar satu surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin UMNO terhadap Hishammuddin yang didakwa melanggar Perlembagaan parti itu dan tata etika sebagai ahli UMNO.
ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin sedia disiasat Lembaga Disiplin UMNO
Berdasarkan surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu perlu menghadiri satu sesi pendengaran di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur bagi memberi penjelasan pada 26 Disember ini.
Hishammuddin didakwa melanggar Fasal 20.8 (b), (c ), dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4 dan 3.1.6 Tataetika Ahli UMNO.
Annuar dalam satu kenyataan semalam mengesahkan isu tersebut dianggap selesai selepas Hishammuddin bertemu Ahmad Zahid dan memberikan penjelasan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.