'Solatlah sementara ada peluang'

Iklan
Posting Facebook Joe tular sehingga kini di laman sosial.

PETALING JAYA -"Menyesal dulu tak sembahyang banyak-banyak. Saya harap kawan-kawan tak jadi macam saya. Solatlah sementara ada peluang. Sujudlah sementara boleh ni."

Itu peringatan Joe Bundle buat umat Islam terutama bagi mereka yang leka dalam menunaikan solat lima waktu.

Iklan
Iklan

Joe berkongsi kata-kata itu setelah hidupnya berubah 360 darjah apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 10 Februari 2017 di Masjid Datuk Haji Kamaruddin Seksyen 51A Petaling Jaya.

Katanya, tarikh itu adalah kali terakhir dirinya mampu menikmati perasaan ketika bersujud, tatkala dahi menyentuh pada lantai.

Iklan

Lebih memeritkan, dirinya tidak lagi mampu untuk bersujud kesan daripada kemalangan tersebut kerana mengalami kecacatan kekal.

"Saya kemalangan dilanggar kereta dan saya sudah cacat kekal dan tak boleh bengkokkan lutut kanan buat selamanya.

Iklan

"Sejak dari itu saya hanya sembahyang sambil baring, mengiring dan akhirnya duduk di atas kerusi. Pernah bila tak ada kerusi di satu-satu tempat saya duduk jugaklah kat atas apa pun. Saya pernah duduk atas tangga, atas pasu bunga dan pernah duduk atas tingkap (Masjid Tokyo Camii di Jepun).

"Pernah juga langsung tak ada benda nak duduk saya hanya bersandar sambil mencangkung macam 'leg day' punya 'training' tu," luahnya.

Menurutnya, perkongsian itu bukan untuk mengadu domba jauh sekali untuk mengeluh ketentuan ALLAH tetapi ia sekadar coretan kepada orang ramai setelah merasai nikmati kesihatan ditarik oleh-Nya.

"Yang lebih menyedihkan, bila dah tak boleh nak sujud ni, kita teringin rasa nak sujud. Teringin nak sembah ALLAH, nak letak kepala kita di lantai. Nak bagitahu Dia kita sayang kat Dia, kita takut kat Dia," kata-katanya yang memberi keinsafan kepada netizen.

Dalam pada itu, Joe juga mendedahkan pengalaman ketika dimasukkan ke dalam wad yang membuatkan dirinya kenal erti penyesalan.

"Saya dah merasa hidup dalam wad lama dan bila saya sembahyang, orang yang tengok saya sembahyang dia pun teringin nak sembahyang jugak. Bila kita baca Quran dia cakap sedap. Padahal saya baca tak sedap pun.

"Saya tahu mereka rindu nak baca Quran tapi tak reti. Nak sembahyang tapi dah terlambat. Kalau dah sakit baru nak mula sembahyang memang susah. Dah terlambat sangat. Kami semua yang dah merasai kesakitan ini sekarang dah tahu erti penyesalan," katanya.

Bagaimanapun apa yang menimpanya, dia tetap bersyukur di atas pengurniaan ALLAH kerana memberi peluang kedua untuk dirinya berubah menjadi khalifah yang terbaik disisi-Nya.

"Kami masih belum terlambat kerana tuhan dah bagi kami peluang kedua walaupun bukan semua yang dapat.

"Harapan kami agar anda tidak perlu lah menunggu hari tua baru nak mula sembahyang," katanya.

Meskipun posting dimuat naik pada Ahad lalu tetapi sehingga kini ia tular di laman sosial dan mencecah 6,400 tanda suka dan 4,600 perkongsian daripada netizen.

Netizen turut memberi kata-kata sokongan, semangat kepadanya dan merasai keperitan yang dialaminya.