KUALA LUMPUR – Polis perlu menyiasat akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Gesaan itu dibuat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi menentukan kebenarannya termasuk mereka yang menyediakan SD berkenaan.
Menurutnya, mahkamah sebelum ini juga telah mendengar dan menilai semua keterangan saksi sepanjang perbicaraan kes itu.
Musa adalah Ketua Polis Negara ketika warga Mongolia itu ditembak mati dan mayatnya diletupkan pada tahun 2006.
Pada tahun 2015, Musa turut menafikan dakwaan dokumentari Al-Jazeera yang mengaitkan Altantuya dengan Najib.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Azilah adalah cerita orang terdesak: Najib
Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azilah, salah seorang daripada dua bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati mendakwa Najib terbabit dalam pembunuhan itu.
Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati di penjara Kajang menuduh Najib yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan Razak Baginda mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kesahihan akuan bersumpah Azilah
SD tersebut difailkan bersama dengan afidavitnya untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan dan memohon perbicaraan semula.
Sementara itu, Musa dalam kenyataannya di Twitternya menafikan pihak berkuasa cuba menutup kes yang berkaitan golongan kenamaan (VIP) apabila pengguna Twittter lain mengatakan rakyat telah bosan dengan layan istimewa tersebut.
"Polis tidak boleh menutup kes. Ia hanya menjalankan siasatan jika wujud jenayah. Yang mempunyai kuasa membuat pertuduhan dan membawa ke muka pengadilan adalah Jabatan Peguam Negara,” katanya.