KUALA LUMPUR - Tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama dan enggan berjauhan daripada keluarga antara faktor yang menyebabkan pelajar terpaksa meninggalkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan, Aidie Jantan berkata sehingga tahun lepas, kira-kira 400 pelajar meninggalkan SBP berbanding 1,000 pelajar pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata pelbagai faktor membawa kepada penurunan itu termasuk keberkesanan Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) yang diperkenal bermula bagi kemasukan tahun lepas.
"Kita yakin UKSPB merupakan satu instrumen amat ‘valid' untuk memastikan murid dapat terus menghuni sekolah (SBP) itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau pendaftaran Tingkatan 1 di SBP Integrasi Gombak di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut aspek keberkesanan UKSBP.
Difahamkan selain UKPSB yang diperkenal pada 2017 (bagi kemasukan tahun lalu), pemilihan ke SBP turut mengambil kira merit pentaksiran aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Psikometrik.
Sementara itu Aidie berkata, pihaknya akan lebih proaktif dalam menambah bilangan pelajar daripada golongan B40 di SBP pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan pelajar cemerlang dari golongan itu diberi peluang semaksimum mungkin.
"Peluang kepada pelajar dari golongan B40 ini perlu diberikan kerana kita faham persekitaran kondusif akan mengujakan mereka untuk belajar lebih bersungguh-sungguh.
"Kita harap murid-murid ini dapat berjaya mencapai hasrat guru dan ibu bapa mereka kerana mereka inilah yang akan menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial dalam keluarga masing-masing untuk berubah daripada keluarga berpendapatan rendah kepada tinggi," katanya.
Ahad lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa sejumlah 9,530 pelajar berjaya dalam permohonan mereka untuk ditempatkan di SBP seluruh negara bagi sesi persekolahan 2019.
Daripada jumlah itu 52.28 peratus atau 4,888 merupakan pelajar dari keluarga B40, peningkatan 15.34 peratus berbanding tahun lepas. - Bernama