SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia menjadi hab pendidikan utama di rantau Asia.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kerajaan turut berharap mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan terulung dengan sokongan negara China.
"September lalu, saya mengadakan pertemuan dengan Naib Menteri Pendidikan China, Zheng Fuzhi di Beijing dan kami membincangkan kolaborasi di samping memeterai memorandum kerjasama dengan Conficius Institute Headquarters (HANBAN) serta pembiayaan biasiswa.
"Hubungan mesra Malaysia-China berjaya menghasilkan pencapaian membanggakan dan kerjasama dua hala itu diharap dapat diteruskan terutama dalam bidang pendidikan," katanya ketika berucap merasmikan Hari Kebudayaan China di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini malam tadi.
Hadir sama, Duta Besar Republik China di Malaysia, Bai Tian dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Mohd Azraai Kassim.
Pada majlis itu Kedutaan Republik China diwakili Bai Tian turut menyerahkan replika cek bernilai RM410,000 kepada Mohd Azraai untuk membiayai kos peralatan kelas dan bilik mesyuarat pintar di UiTM.
Nie Ching berkata, impak positif hubungan dua hala Malaysia-China perlu digunakan sepenuhnya institusi pengajian tinggi negara ini seperti UiTM bagi menawarkan pakej pengajian sesuai untuk menarik pelajar dari China.
Menurutnya, Malaysia mampu menarik sejumlah besar pelajar dari negara China sejak tahun 2015.
"Sehingga Oktober tahun ini, kita menerima kehadiran 16,503 pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian di negara ini dengan 7,948 pelajar kita belajar di negara itu.
"Justeru, hubungan kerjasama di antara institusi pengajian tinggi dari kedua-dua negara melalui program mampan dan aktiviti memberi impak akan membantu meningkatkan imej pendidikan tinggi negara di peringkat global,"katanya.
Sementara itu, Bai Tian dalam ucapannya menggalakkan golongan muda dari Malaysia mengambil peluang keemasan mempamerkan bakat keusahawanan terutama dalam dunia jalur lebar melalui Inisiatif Jalur dan Jalan diperkenalkan kerajaan China.
Menurutnya, melalui inisiatif itu hubungan kerjasama antara China dan Malaysia semakin meningkat, malah Malaysia menjadi antara negara terawal menyokong dan menyertainya.
"Sebagai contoh, China menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk sepuluh tahun berturut-turut dengan jumlah nilai perdagangan melebihi RM100 bilion.
"Saya percaya tradisi kerjasama dan sokongan antara China dan Malaysia akan berterusan sekali gus memperoleh manfaat ditawarkan menerusi Inisiatif Jalur dan Jalan," katanya.
Sementara itu, Mohd Azraai menyifatkan kerjasama antara China dan UiTM bakal mengutarakan keperluan perkongsian ilmu dari aspek kajian, program pertukaran kakitangan dan pelajar program musim panas dan aspek lain.
"Ia penting bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama antara UiTM dengan universiti di China," katanya.
Terdahulu, program makan malam sempena Hari Kebudayaan China diadakan bagi meraikan ulang tahun pengukuhan hubungan diplomatik antara Malaysia-China yang terjalin sejak 45 tahun lalu.
Pelbagai program merangkumi tayangan filem dan aktiviti kebudayaan turut diadakan sepanjang hari itu.
Tumpuan utama program adalah persembahan kebudayaan termasuk nyanyian dan tarian melalui konsert makan malam oleh kumpulan khas dari negara China dan pelajar UiTM.
Kumpulan ini diterbangkan khas ke Malaysia untuk mempamerkan persembahan debut di universiti itu.
Selain itu, Hari Kebudayaan China turut menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada pelajar untuk diterokai.
Program ini turut menarik kehadiran lebih 500 pelajar untuk mempamerkan kebolehan dan memasarkan diri kepada 14 syarikat dari China yang terbabit dalam pameran kerjaya.