MELBOURNE - Pasangan suami isteri dari Australia cemas apabila menyedari cincin pertunangan dan cincin berlian perkahwinan mereka hilang selepas tidak sengaja membuangnya di tempat pelupusan sampah Sabtu lalu.
Pasangan itu menyangka akan kehilangan cincin perkahwinan buat selama-lamanya namun 'keajaiban' yang berlaku mengubah segala-galanya apabila majlis perbandaran tempatan berjaya menemui cincin tersebut bersama-sama 30 tan timbunan sampah.
Iklan
Iklan
Kedua-dua mereka yang tidak mahu dikenali membuang sampah di depot pelupusan selepas mengubah suai kediaman mereka di Melbourne sebelum menyedari cincin mereka dimasukkan ke dalam beg sampah merah jambu secara tidak sengaja ketika kerja-kerja pembersihan.
Jurucakap Majlis Perbandaran Stonnington di Malvern, Jim Carden berkata, selepas menyedari perkara itu, mereka membuat panggilan kecemasan kepada pihak majlis dan memberitahu akan ke tempat tersebut pada jam 4 pagi keesokannya.
"Mereka bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada empat pekerja kami, Macca, Rick, Barry dan Dave yang menemui lori yang memungut sampah dibuang pasangan itu sebelum dihantar ke tempat lain.
"Pekerja kami mengarahkan lori tersebut ke kawasan yang selamat dan mula memunggah sampah sebelum menemui beg sampah merah jambu dengan tisu serta cincin masih ada di dalamnya," katanya.
Justeru, Carden menggesa orang ramai untuk menjaga barang-barang berharga mereka kerana hasil yang positif seperti pasangan tersebut bukan sesuatu perkara yang biasa berlaku. - Agensi.