PETALING JAYA - Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor, Nur Farhana Abdul Manan antara 62 individu yang menerima Anugerah Malaysia Kind Hearts atau Anugerah Orang Gila Baik (OGB) 2019.
Nur Farhana yang juga Pengasas Team Marhaen Puchong menerima anugerah tersebut atas kerja kebajikan yang dilakukannya di sekitar kawasan Puchong.
Penganjur yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, anugerah tersebut sebagai pengiktirafan bagi menghargai individu yang banyak membantu golongan memerlukan.
"Kita adakan majlis serta memberi penghargaan kepada 62 individu ini bertujuan memberi penghargaan di atas usaha mereka membantu masyarakat.
"Paling penting kita terus menggalakkan lebih ramai lagi insan yang mahu melakukan aktiviti kemasyarakatan, cuma buat lebih sikit itu saja," katanya pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam
Menurutnya, aktiviti kebajikan secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat.
"Sebenarnya kerja kebajikan ini melibatkan semua tanpa mengira kaum dan agama. Kita bersama membantu mereka yang memerlukan.
"Paling utama kita berikan tenaga dan usaha untuk bantu orang yang susah tidak mengira siapa dan tanpa mengira fahaman politik," katanya.
Turut menerima anugerah tersebut ialah ahli korporat, ahli perniagaan, profesional dan individu yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Datuk Seri Marcus Liew dari The Rainmaker MGMT Sdn Bhd dan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee (Winner Dynasty Group).
Selain itu, Danny Chen Heng Siong dari Petron Fuel International Sdn Bhd, Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) dan Dr Maznisah Mahmood (Senior Consultant Paediatrician Paediatric ICU, Women's and Children's HKL) juga menerima anugerah tersebut.