Penduduk kampung sifatkan Adib pemuda hebat

Iklan
Zulkifli (kiri) ketika menziarahi pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Tebenggau.

ALOR SETAR - Pemergian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang genap setahun hari ini masih dikenang penduduk yang menganggapnya sebagai pemuda hebat.

Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Tebenggau, Kuala Kedah, Zulkifli Shaari, 59 berkata, walaupun Muhammad Adib seorang yang pendiam namun sikapnya menyenangkan penduduk kampung terutama kepada kedua ibu bapanya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Allahyarham selalu mengikuti aktiviti di kampung dan berjemaah di masjid apabila dia pulang bercuti.

"Allahyarham pun baik dengan keluarga dan membelikan kereta kepada ibu bapanya. Allahyarham memang hebat orangnya," katanya.

Iklan

Zulkifli yang juga bekas guru berkata, pesalah yang menjadi punca kepada kematian wira negara itu perlu dihukum dan rakyat akan terkilan jika kematian Allahyarham Muhammad Adib tidak dibela.

Sementara itu, sepupu Muhammad Adib, Ku Maisarah Ku Husin, 26, berkata, sikap Allahyarham yang ringan tulang menyenangkan sesiapa sahaja.

Iklan

Menurutnya, Muhammad Adib suka membantu bapanya menanam padi setiap kali pulang bercuti.

"Dia juga suka bantu kawan-kawannya yang turun ke laut dan membantu membasuh bot. Selepas kehilangannya kami macam rasa dia ada lagi. Rasa rindu tu adalah sebab kami sepupu," katanya.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.