Gagahkan diri beri ciuman terakhir untuk ibu

Iklan
Keadaan Siti Umaimah ketika dirawat di hospital. Foto: Ihsan keluarga

KUALA TERENGGANU – Bekas pelajar Maahad Darul Quran Rusila, Marang kehilangan ibu pada saat dirinya bertarung dengan kesakitan dan terlantar di hospital Dungun akibat masalah cecair pada bahagian kepala.

Siti Umaimah Saludin, 20, menggagahkan diri untuk memberi ciuman terakhir buat ibunya yang meninggal dunia akibat barah Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Bapanya, Saludin Hamzah, 52 berkata, anak ketiganya itu dibenarkan keluar wad untuk seketika bagi mengiringi pengebumian ibunya, Allahyarham Zakiah Mohd, 42, yang dikebumikan di tanah perkuburan di Manir.

"Syukurlah dia masih sempat bersama arwah ibunya ketika dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Saludin yang juga peniaga di pasar borong berkata, dia sendiri hanya sempat bersama arwah isterinya 10 minit sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

"Saat dia pergi saya tidak tidur malam hampir tiga hari kerana sibuk menguruskan anak di hospital dan urusan kerja. Tiba-tiba saya dapat panggilan daripada anak kedua memberitahu keadaan ibunya yang sedang nazak.

Iklan

"Saya tak sangka dia akan pergi dahulu akibat penyakit kanser darah (leukemia) sedangkan kami sama-sama menjaga anak di hospital,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Catak, Dungun.

Gambar tular Siti Umaimah di media sosial yang dirakam ketika masih sihat. Foto: Ihsan pembaca

Saludin berkata, ketika anaknya dirawat di Hospital Dungun, isterinya juga pernah berada di wad hospital sama kerana mengalami demam selain mengalami ulser pada bahagian mulut.

"Allahyarham pernah ditahan wad yang sama dengan anak kami tetapi dia minta keluar wad (discharge) untuk berehat di rumah selepas empat hari dirawat.

"Saya hanya tahu dia mengalami leukemia selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital Khamis lalu,” katanya.

Saludin berkata, buat masa ini dia terpaksa meminta pertolongan keluarga terdekat untuk menjaga anaknya di hospital kerana dia juga perlu bekerja untuk menampung perbelanjaan dan pengajian tiga anaknya.

Bercerita lanjut katanya, Siti Umaimah yang juga anak ketiga daripada lima adik beradik pada mulanya hanya mengalami batuk dan demam biasa sejak Jun lalu dan kesihatannya bertambah buruk pada Julai.

"Selera makannya juga berkurang sejak Jun lalu. Dia demam tapi saya ingatkan demam biasa sebelum dia mula meracau pada sebelah malam dan terkena sawan. Saya terus hantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Saya juga dimaklumkan pihak hospital selepas menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dia ada jangkitan kuman pada selaput otak dan kini masih dirawat di Hospital Dungun,” katanya.

Menurutnya dia sentiasa mendoakan Siti Umaimah sembuh dan meneruskan pengajian yang tertangguh.

"Sebelum dimasukkan ke hospital dia ada mohon untuk sambung pengajian di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Permohonan masuk dah diterima dan yuran pengajian telah dijelaskan.

"Kini hanya menunggu dia pulih untuk kembali menyambung belajar," katanya.

Penderitaan dialami Siti Umaimah tular di media sosial sejak dua hari lalu selepas dimuat naik oleh seorang kenalan menerusi kumpulan pesanan mudah alih, WhatsApp Gen28 Banat Maahad Darul Quran (MDQ) pada 15 Disember.