8 tahun menanti akhirnya dapat kembar

Iklan
Norfidiamil dan suami, Zairi Anuar bersyukur dengan kelahiran cahaya mata pertama mereka yang merupakan kembar hasil kaedah IVF.

KUALA TERENGGANU – Penantian selama 8 tahun sepasang suami isteri mendapatkan anak sebagai penyeri rumahtangga akhirnya menjadi realiti dengan kelahiran cahaya mata pertama melalui kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Ahad lalu.

Lebih menggembirakan, pasangan itu bukan mendapat seorang anak sebaliknya dikurniakan sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan comel yang dilahirkan selang seminit pada jam 11.28 pagi dan 11.29 pagi secara pembedahan.

Iklan
Iklan

Norfidiamil Rozali, 35, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, dia bersyukur dengan kehadiran anak itu setelah pelbagai usaha dilakukan beliau bersama suami, Zairi Anuar Zakaria, 36, bagi mendapatkan zuriat selepas setahun berkahwin.

"Selepas berkahwin, kami merancang untuk segera dapat anak tapi saya tinggal berjauhan dari suami. Masuk tahun kedua barulah kami dapat tinggal sekali namun saya masih tidak mengandung walaupun pelbagai cara dilakukan sama ada tradisonal mahupun moden,” katanya.

Iklan

Dia bersama suami yang bekerja sebagai penolong jurutera tidak putus berikhtiar dan sanggup berhabis kira-kira RM20,000 sebagai usaha mendapatkan anak.

Akhirnya, pasangan itu mengambil keputusan mendapatkan rawatan kesuburan di HSNZ pada tahun 2014 dan doktor menyarankan mereka menjalani kaedah permanian beradas (IUI).

Iklan

"Kami buat IUI sebanyak empat kali tapi masih tiada rezeki apabila kesemuanya gagal.

"Selepas itu doktor saran buat IVF pula bermula tahun 2016 dan kali ketiga barulah saya disahkan mengandung iaitu pada Mei tahun lepas,” katanya pada Majlis Sambutan Bayi IVF yang ke-100 Peringkat Negeri Terengganu 2019 di HSNZ hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Pasangan suami isteri itu kemudian mendapat khabar gembira kedua apabila bayi yang dikandung Norfidiamil disahkan kembar dan dia berusaha menjaga kandungan sebaik mungkin termasuk makan makanan berkhasiat, elakkan fikiran negatif dan mempertingkatkan hubungan dengan ALLAH S.W.T.

"Terima kasih atas doa ibu bapa dan keluarga kami. Insya-ALLAH saya berhasrat untuk mengandung lagi selepas tiga tahun kerana embrio yang diambil masih ada,” katanya yang pulang berpantang di Kampung Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu.