Banyak jalan rosak di DUN Pelabuhan Klang

Iklan
Azmizam (dua dari kanan) bersama agensi kerajaan berkaitan meninjau isu kerosakan jalan di beberapa kawasan di DUN Pelabuhan Klang di sini semalam.

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa menangani masalah jalan rosak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau menerima banyak rungutan berhubung kerosakan jalan daripada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat terlalu banyak jalan berlubang dan rosak di DUN itu terutama pada musim hujan ini.

"Keadaan ini menyebabkan air bertakung di sesetengah kawasan seperti di Jalan Persiaran Raja Muda Musa yang menyebabkan jalan rosak," katanya yang meninjau beberapa isu kerosakan jalan di DUN Pelabuhan Klang di sini semalam.

Iklan

Azmizam berkata, jalan rosak juga berpunca akibat struktur tanah yang mendap di kiri dan kanan jalan.

"Keadaan ini disebabkan laluan ini sering dilalui kenderaan berat di kawasan kampung tradisi seperti di Pulau Indah Pelabuhan Klang," katanya.

Iklan

Katanya, syarikat utiliti yang membaik pulih jalan rosak selepas kerja-kerja dilakukan di kawasan tertentu gagal menyelenggara jalan dengan sempurna.

Beliau berkata, pelbagai masalah lain timbul seperti penyambung jambatan rosak, lampu jalan tidak menyala pada waktu malam dan tiada pembersihan jalan.

"Selain itu, perkara berbangkit lain seperti isu papan tanda, pemantul cahaya dan pelbagai peralatan jalan yang hilang serta rosak, selain lampu isyarat tidak berfungsi," katanya.

Katanya, terdapat pokok tua di bahu jalan tidak diselenggara dan ditebang membahayakan keselamatan seperti di Jambatan Kampung Pendamar.

"Pihak JKR perlu mengutamakan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dan mengharapkan mereka bersikap lebih proaktif pada masa depan," katanya.