Elliott pamer aksi memukau

Iklan
Elliott tampil dengan aksi memukau pada perlawanan suku akhir Piala Carabao menentang Aston Villa. - Foto telegraph.co.uk

WALAUPUN mengalami kekalahan teruk kepada Aston Villa pada pertembungan suku akhir Piala Carabao awal pagi semalam, Liverpool pastinya akan membuat pertimbangan untuk menggunakan khidmat tetap pemain sayap, Harvey Elliott bagi pasukan utamanya.

Pada pertembungan yang menyaksikan Liverpool tewas 0-5 di Villa Park, pemain itu mempamerkan aksi memukau dengan percubaan, hantaran dan umpanan ke kubu pasukan lawan yang hampir menghasilkan gol.

Iklan
Iklan

Neil Critchley memikul tugas sementara Jurgen Klopp yang kini bersama skuad utama di Qatar bagi menghadapi perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA 2019 memuji penampilan Elliott bersama pemain bawah 23 tahun (U-23) sebagai sangat menakjubkan.

"Pada pandangan saya, dia (Elliott) semakin hampir untuk menyertai pasukan utama Liverpool secara tetap. Corak dan kematangan sewaktu beraksi juga dilihat serasi dengan pemain-pemain senior kerana dia berlatih bersama mereka.

Iklan

"Bukan dia sahaja tetapi keseluruhan pemain yang bermain menentang Aston Villa mempamerkan permainan matang," katanya.

Pemain berusia 16 tahun itu yang bermain di posisi sayap kanan menjadi ancaman utama buat pertahanan Villa di mana dia melepaskan dua rembatan ke arah gol dan hantaran tepat sebanyak 84 peratus sepanjang 90 minit.

Iklan

Critchley yang juga pengendali U-23 Liverpool berkata, pemain-pemainnya tampil luar biasa sejak wisel dibunyikan dengan mencipta gerakan bahaya dan peluang menjaringkan gol.

"Kita kurang bernasib baik kerana percubaan daripada pemain tidak masuk ke gawang lawan dan akhirnya mereka terlebih dahulu menjaringkannya.

"Selepas itu kita bolos untuk kali kedua walaupun telah bermain dengan baik. Tapi itulah hakikat yang perlu kita terima dalam soal kualiti permainan berbanding lawan.

"Pada babak kedua, kita kehabiskan tenaga dan sedikit hilang fokus menyebabkan lawan berjaya membolosi gawang kita. Bagi saya ia malam yang luar biasa buat pasukan U-23," katanya.