KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau ke Perth, Australia atas urusan kerja.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee, 66, yang mewakili dirinya dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.
"Setelah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak saya bersetuju dengan pemohon (Muhammad Shafee) bahawa tidak ada elemen untuk beliau melarikan diri," katanya.
Sehubungan itu beliau membenarkan permohonan Muhammad Shafee dan memerintahkan peguam itu memulangkan pasport selewat-lewatnya pada 26 Dis ini selepas pulang dari Perth.
Terdahulu dalam hujahannya Muhammad Shafee memohon supaya pasportnya dipulangkan sementara bagi membolehkan beliau ke Perth mulai 21 sehingga 24 Disember ini atas urusan kerjanya sebagai seorang peguam.
ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan kes Muhammad Shafee ditetapkan Mac 2020
"Saya ada satu kes di Sydney, Australia, membela seorang warga Malaysia dari Johor Bahru dan saya terpaksa temuduga dua saksi iaitu pasangan suami isteri yang berada di Perth, difahamkan mereka berada di sana dari 19 Disember sehingga 15 Januari depan bagi menyambut perayaan Krismas.
"Sebelum ini, semua permohonan saya untuk dapatkan pasport telah dibenarkan oleh mahkamah kecuali satu permohonan yang ditolak hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) Collin Lawrence Sequerah pada 14 Mei 2019. Namun saya telah membuat rayuan dan keputusan telah dikembalikan oleh Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa tidak ada langsung unsur melarikan diri," katanya.
Afzainizam pula membantah permohonan Muhammad Shafee atas alasan peguam itu berdepan pertuduhan yang sangat serius.
Sehubungan itu beliau memohon mahkamah menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan berdasarkan keseriusan kesalahan yang dihadapi oleh peguam tersebut.
Pada 13 September tahun lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September, 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.
Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau sehingga penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di sini pada 3 Mac, 2015 dan 29 Jun, 2015.
Bagi kesalahan itu Muhammad Shafee berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan. - Bernama