SHAH ALAM - 'Sungguh rezekinya luar biasa'. Itu kata-kata reaksi pemilik Facebook Quwwatun Aqilah Mohamad mengenai bapa saudaranya yang berpeluang menunaikan umrah hasil tajaan daripada individu.
Menerusi status Facebooknya, bapa saudara dikenali Pak Su itu hanyalah seorang penjual santan kelapa selain menghantar pelajar ke sekolah.
Bercerita lanjut katanya, itu pertama kali bapa saudaranya menaiki kapal terbang dan juga ke Makkah bagi menunaikan umrah.
"Sungguh rezekinya luar biasa, ditaja menunaikan umrah. Kali pertama naik kapal terbang, pergi umrah dan dapat pula duduk di kelas perniagaan (business class)," tulisnya.
Sikap kesederhanaan bapa saudaranya itu membuatkan dia mengakui Pak Su memiliki hati yang suci.
"Semalam masa mak kemas beg Pok Su sebelum gerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), barang Pok Su sedikit je, satu helai seluar, baju dua helai, kain pelekat sehelai, itu je. Nak pergi 12 hari.
"Subhanallah, teringat kisah sirah sahabat Nabi yang mana pakaiannya hanya satu atau dua helai dan Pok Su merasakan cukup, tak perlu beli baru.
"Mungkin inilah amalannya, tiada dunia dalam hatinya, hatinya jujur," katanya.
Perkongsian cukup menarik itu membuatkan netizen membanjiri ruang komen dan memberi pelbagai reaksi.
Zakiah Yah berkata,"Subahanallah alhamdulillah Allahuakbar... Allahu tunjuk kebesaran-Nya. Atas kejujuran Pok Su...
"Alhamdulillah Ya ALLAH, semoga segala kebaikan terhadap Pok Su kembali kepada kalian semua... Jazakallahu Khairan jaza'...," tulisnya.
Kata Azlia Shakiela,"perkongsian yang baik, sangat terinspirasi."
Tambah, Faizah Nawi,"ALLAH tidak memandang harta rupa paras seseorang tapi pada hati iman serta ketakwaan. Alhamdulillah Pok Su dipilih."
Sementara itu, hantaran dimuat naik Ahad lalu tular sehingga kini dan meraih lebih 1,200 tanda suka daripada netizen.