Maqis rampas 23kg daging babi sejuk beku

Iklan
Pegawai Maqis menunjukkan produk daging babi yang cuba dibawa masuk dari Korea.

BAYAN LEPAS - Cubaan seorang pelancong dari Korea membawa masuk 23 kilogram (kg) produk sejuk beku yang dipercayai daging babi gagal apabila dia ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, wanita berusia 40-an itu ditahan selepas didapati membawa produk hasilan haiwan di laluan penumpang yang tidak dibenarkan mengikut peraturan di negara ini.

Iklan
Iklan

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, larangan pengimportan daging babi ke negara ini telah pun dikeluarkan bagi mengekang kemasukan virus African Swine Fever (ASF) yang telah merebak ke beberapa buah negara dan menjejaskan industri penternakan babi di negara yang terlibat.

Menurutnya, selain larangan pengimportan secara pukal, kemasukan daging babi dan produk yang berasaskan babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang sama sekali.

Iklan

"Hasil pemeriksaan kita mendapati penumpang tersebut membawa bungkusan yang dipercayai daging babi sejuk beku seberat 23kg yang bernilai RM862.50.

"Virus ASF amat mudah merebak walaupun dengan kuantiti yang sangat sedikit disebabkan itu kita melarang kemasukannya ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Produk daging babi sejuk beku yang dirampas.

Iklan

Zarina berkata, antara produk yang diklasifikasikan sebagai pembawa virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan apa-apa jenis produk babi yang lain.

Katanya, perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan boleh dihukum kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

"Kita sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.