Harimau Muda perlu semangat baharu

Iklan
Prestasi Harimau Muda pada saingan Sukan SEA Filipina 2019 baru-baru ini amat mengecewakan jemaah bola sepak tanah air.

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan posisi ketua jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) tahun negara yang bakal ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee penghujung tahun ini wajar digantikan pengendali baharu dari luar negara.

Menurutnya, beliau melihat pelantikan jurulatih dari luar secara tidak langsung akan menyuntik semangat baharu kepada Harimau Muda itu pada masa depan.

Iklan
Iklan

"Pada saya sekiranya kita mengambil jurulatih baharu dari luar yang boleh memahami budaya tempatan secara tidak langsung akan mempercepatkan proses memperkasakan pelapis untuk skuad senior negara pada masa depan.

"Saya percaya tiada masalah bagi tujuan ini kerana sudah tiba masanya kita perlu satu suntikan baharu yang positif. Kalau kita terlalu bergantung kepada lokal saya bimbang kita tidak akan ke mana pada masa depan.

Iklan

"Untuk Liga Super mungkin okey la kita hendak mengambil jurulatih tempatan, tapi untuk mengendali skuad kebangsaan memerlukan lebih dari sekadar pengalaman," katanya mengulas calon pengganti yang layak mengisi posisi Kim Swee yang kontraknya tidak disambung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pada masa sama bekas pemain pertahanan itu berkata, beliau tidak mempunyai niat untuk memperkecilkan kredibiliti jurulatih tempatan mengendali skuad kebangsaan.

Iklan

"Secara jujur pada saya banyak lagi yang perlu dipelajari jurulatih tempatan di negara ini dalam melatih para pemain khasnya skuad senior dengan menimba ilmu dan pendekatan baharu di luar negara.

"Para pemain muda tempatan kita pun masih belum boleh dikatakan berada pada tahap membanggakan jadi untuk meningkatkan kualiti pemain memerlukan jurulatih yang tahu serba serbi tidak hanya dalam padang tapi juga luar padang," katanya.

Tambahnya lagi, paling penting jurulatih yang bakal mengendali Harimau Muda pada masa depan mesti mempunyai falsafah yang boleh membentuk pasukan ini bermentaliti juara.

"Pada saya tiada istilah eksperimen seperti skuad Bawah 19 tahun bagi skuad B-22 tahun kerana skuad ini perlu seperti skuad Harimau Malaya yang diletakkan KPI (Indeks Prestasi Utama) tinggi iaitu kemenangan.

"Sekiranya pengendali baharu yang dilantik FAM bagi mengisi jawatan ketua jurulatih skuad B-22 tidak mampu atau tidak bersemangat memastikan skuad kendaliannya mencapai sasaran seperti ditetapkan, tiada guna kita membayar gaji mahal," katanya.