ALOR SETAR - Kedah mengenalpasti beberapa pemain mudanya yang berpotensi 'meletup' pada masa hadapan untuk diletakkan harga sehingga nilai RM3 juta.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, nilai klausa perlepasan yang diletakkan bertujuan untuk memastikan hak persatuan dan usaha mereka mencungkil bakat pemain berkenaan terpelihara.
Menurutnya, fokus Lang Merah kini adalah menambah klausa perlepasan dalam kontrak 'ubi' mereka yang sedang meningkat naik di samping tidak mengenepikan kepentingan pemain senior.
"Di Kedah, kita sedang membuat penilaian untuk meletakkan tanda harga seperti yang sedang dilakukan pasukan lain. Sekurang-kurangnya nilai RM3 juta kepada pemain muda yang berpotensi akan kita letakkan.
"Setakat ini lima pemain muda dalam pemerhatian dan KFA juga akan meletakkan nilai gred mereka berdasarkan perkembangan dan pencapaian semasa agar pemain-pemain ini tahu berapa nilai pasaran mereka," katanya yang ditemui di Wisma Darul Aman, hari ini.
Katanya, KFA juga tidak ketinggalan seperti persatuan lain memperbaiki sistem pengurusan kontrak bersama pemain selepas kemelut berlaku di antara pihaknya dan Akhyar Rashid.
"Isu Akhyar dan KFA ini ada hikmah sebenarnya dan telah membuka mata banyak pasukan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membaiki pengurusan dan undang-undang sedia ada.
"FAM juga dilihat perlu menambah baik dan melihat status mereka dalam usaha ke arah sebuah organisasi yang profesional dan lebih matang," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan semasa Tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) KFA untuk membawa kes Akhyar ke Switzerland, Mohd Asmirul berkata, jumlah kutipan kini telah melebihi RM10,000 sejak dilancarkan pada 3 Januari lalu.
Tambahnya, perasmian tabung tersebut akan dilakukan pada perlawanan persahabatan pra musim 2019 Kedah menentang Kelantan pada malam esok di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM).